Monday, August 3, 2009

SIRI GELAGAT ROHAIZAD SHAARI

SIRI GELAGAT ROHAIZAD SHAARI
OLEH MAHZAN MUSA

Ogos 2009 Rohaizad Shaari melancarkan pameran solo keduanya. Setelah berjaya dengan pameran solo pertama pada Oktober 2003, Rohaizad Shaari kelihatan terus mara berkarya dengan hasil gerak kerja kreatif seni catan yang sehingga kini tidak nampak kesudahannya. Dengan cabaran ekonomi global masa kini, Rohaizad masih komited, berani meneruskan kelangsungan kerjaya profesional sebagai pelukis sepenuh masa.

Pameran solo kedua Rohaizad Shaari memperlihatkan kesinambungan citra dari Siri Gerek yang mula beliau terokai pada dekad pertama alaf 2000. Di awal kemunculan citra basikal atau gerek dalam loghat Kedah, Rohaizad kelihatan bereksperimen dengan citra basikal. Ternyata eksperimen beliau berjaya laris di kalangan kolektor sehingga terlancar pameran solo pertamanya dengan Siri Gerek. Dalam kehidupan masa kini apalah yang ada pada citra basikal (kecuali kepada pengumpul barangan antik). Lebih-lebih lagi basikal buruk yang usang, ketinggalan dalam serba kecanggihan penciptaan basikal moden masa kini. Itu persepsi khalayak. Tetapi bagi Rohaizad Shaari sebagai pelukis basikal tua bukan sekadar basikal biasa. Rohaizad tergugah dengan citra basikal. Kepekaan Rohaizad merangsang beliau berfikir melepasi jangkauan biasa betapa basikal tua yang buruk, usang kelihatan ketinggalan zaman dijadikan subject matter seni catan. Di sini kelebihan Rohaizad. Beliau tergugah dengan basikal tua.
Aristotle pernah menyatakan pelukis berkarya dengan meniru persekitarannya. Kenyataan ini ada kebenarannya tetapi peniruan Rohaizad bukan peniruan sewenang-wenangnya. Peniruan Rohaizad adalah peniruan kreatif dalam kejituan ketepatan persis rakaman foto visual. Dan jauh lebih penting dari itu karya-karya dari pameran solo kedua ini adalah pengkisahan visual tentang kehidupan manusia. Basikal tua sebagai metafora memerihalkan perilaku manusia dengan pelbagai ragam, gelagat dan kerenah.

Kehidupan di alaf 2000 ternyata semakin mencabar. Dari globalisasi, dunia tanpa sempadan dengan kemajuan kecanggihan dalam bidang ICT telah banyak merubah caragaya kehidupan yang tidak di jangkakan sepuluh atau dua puluh tahun lalu. Ada yang dapat menyesuaikan diri malah teruja dengan perubahan-perubahan ini. Tetapi ada juga merasa terhimpit, sukar berdepan dengan perubahan-perubahan caragaya kehidupan moden masa kini. Lantas ada yang masih terbelenggu, selesa dengan caragaya kehidupan masa lalu, tetapi hakikatnya tertinggal dan terpinggir. Ini adalah konsep yang mendasari gaya pengkaryaan Siri Gelagat dan Siri Gerek.
Dari gugusan karya-karya Siri Gelagat menerusi pameran solo kedua ini, karya dengan judul Krisis memperlihatkan citra basikal tua bersandar di tiang tanda arah ke stesyen minyak. Seperti yang kita sedia maklum, basikal tidak perlu diisi minyak. Tetapi bagi mereka yang ada kenderaan bermotor tentunya berbeza. Di sini timbul ‘krisis’ - kereta perlu membayar kos antaranya minyak. Basikal hanya perlu kerahan tenaga dengan berkayuh tetapi kelihatan daif.
Citra karya dengan judul Hutang ketara sekali pemilik basikal tua bersandar di pohon besar dengan iklan menawarkan peluang pinjaman kewangan daripada lintah darat atau kini dikenali sebagai ‘Ah Long’ terlekat di batang besar pokok. Dalam keadaan terdesak akibat kemiskinan merangsang untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada ‘Ah Long’. Tetapi pada mereka yang tidak mampu melangsaikan pinjaman ‘Ah Long’, peminjam diburu dan terus diburu. Lantas kehidupan seperti pelarian di tempat sendiri. Ringkasnya, pengolahan kreatif seni catan Rohaizad berkisar tentang tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan ikhtiar hidup.

Karya Harapan, Rohaizad kemukakan persoalan dapatkah Wawasan 2020 dinikmati penduduk miskin dan mereka di kawasan pendalaman luar bandar? Menerusi karya Harapan visual seni catan ini dengan ketara sekali memperlihatkan perbezaan darjat antara pemilik kenderaan mewah dengan basikal tua. Persoalan timbul siapa yang lebih gah atau siapa yang tenang di antara kedua-dua pemilik kenderaan ini? Gah dari segi material? Tenang dengan basikal tua yang buruk ketinggalan zaman? Fikirkan.

Pengolahan elemen-elemen formalistik seni catan karya-karya dari Siri Gelagat 2009 pada pameran solo kedua ini dengan ketara sekali memperlihatkan ketrampilan Rohaizad mengolah citra karya. Kehalusan kerja seni Rohaizad semakin murni mencipta keindahan. Pengolahan keperincian kesan cahaya dan bayangan menjadikan karya-karya beliau dapat dikategorikan sebagai karya hyper realist. Keadaan citra sebegini menjadikan karya-karya beliau nampak serius, sarat dengan mesej dan kritikan sosial.

Karya-karya lain dari pameran solo kedua seperti Sandaran, Utusan, Orang Kampung, Keringat, Bebanan, masih tertumpu kepada kehidupan tradisional petani di sawah, kebun, ladang adalah trade mark Rohaizad Shaari sejak dari Siri Pemandangan di awal kemunculannya sebagai pelukis sepenuh masa sebaik sahaja tamat pengajian seni halus di UiTM pada 1992. Citra karya dengan pemandangan desa dengan segala macam ragam ikhtiar hidup adalah diri sebenar Rohaizad Shaari. Sebagai pelukis, Rohaizad mengangkat subject matter daripada latar kehidupan beliau dibesarkan dalam keluarga petani dan kini masih hidup menetap dikelilingi dengan masyarakat petani di Jitra, bahagian Kedah utara. Rohaizad menceritakan secara visual latar belakang diri, pengalaman hidup, pengamatan persekitaran fizikal, kehidupan petani yang begitu dekat dengan dirinya. Pengalaman hidup Rohaizad menjadi estetika seni catan dan sekali gus membentuk jatidiri beliau sebagai antara pelukis unggul generasi keempat tanah air.

Isu kritikan sosial berbaur dengan pengolahan citra menerusi elemen-elemen formalistik seni halus menjadikan karya-karya dari Siri Gelagat nampak serius, sarat dengan mesej dan kritikan tentang ikhtiar kehidupan, caragaya kehidupan masyarakat luar bandar di kalangan petani sewaktu ramai yang leka melayari dunia luar tanpa sempadan sedangkan sempadan yang begitu dekat dengan kita kurang atau tidak langsung kita peduli.

Mohd Mahzan Musa
Jabatan Siswazah Psikologi dan Kaunseling
UUM College of Arts and Sciences
Universiti Utara Malaysia
21 Julai 2009

No comments:

Post a Comment